By Insyirah Azhar
Istiqamah. 9 Huruf yang ringan dibicarakan namun liat dan begitu berat untuk melakukannya. Ada pelbagai aspek istiqamah yang kita boleh adaptasi. Antaranya:
1) Orang yang ingin berhijrah daripada dunia jahiliahnya.
2) Orang yang ingin berubah daripada tabiat yang buruk kepada tabiat
yang lebih baik, sekaligus meninggalkan tabiatnya yang buruk.
3) Orang yang ingin menjadikan rutin hariannya produktif tanpa sesaat pun mensia-siakan masanya di dunia.
Dan ada pelbagai jenis istiqamah yang boleh kita renungkan. Akhirnya
pasti jawapannya adalah, untuk berubah ke arah sesuatu yang lebih baik.
Tujuh (7) Cara berubah secara berterusan ini adalah, antara yang kita
boleh lakukan supaya paling minima, kita menghasilkan perubahan walau
sekecil zarah. Kerana sesungguhnya gunung-ganang itu terdiri daripada
kerikil-kerikil kecil.
Anda boleh lakukan 7 cara ini mengikut kesesuaian anda. Mungkin tidak perlu ikut urutan.
Istiqamah #1 – Matlamat Yang Jelas
Andai kita belajar hadis, perkara yang pertama yang disebut adalah
tentang niat. Begitulah pentingnya sebelum kita berubah, kita jelaskan
matlamat ‘kenapa kita nak berubah?’. Analoginya begini:
Kita nak
pergi ke sesuatu tempat. Pasti ada destinasi betul? Apabila kita tahu
destinasi, maka kita akan lebih mudah dapat membuat pilihan dan
keputusan, jalan mana yang mahu digunakan untuk ke sana.
Nah!
Beginilah pentingnya menetapkan matlamat tentang, ‘mengapa kita nak
berubah?’. Minda ini apabila kita jelaskan apa yang kita mahu, maka
inshaAllah lebih mudah ia faham dan memberi arahan kepada yang lain.
Ambil satu kertas A4, jawab 2 soalan di bawah,
Mengapa aku nak berubah?
Apakah impak apabila aku berubah?
Mencatat perkara penting membantu sebagai peringatan berterusan.
Anda boleh bermula dengan menulis perkara-perkara negatif. Contoh:
“Aku tak suka, aku selalu solat lewat.”
Selepas anda senaraikan semua perkara-perkara negatif yang menyebabkan
anda ingin berubah, tukarkan kepada ayat-ayat positif seperti contoh di
bawah:
“Aku suka, aku selalu solat awal waktu.”
Kemudian,
slash ayat-ayat negatif yang anda tulis tadi. Hasilnya, otak anda akan
mula fokus apa yang anda inginkan. Barangkali antara sebab kita masih
berubah, kita fokus kuat kepada perkara-perkara yang kita tidak suka.
Dan ia semakin membuat kita membencinya. Justeru, tukar fokus kita. Mula
fokuskan pada perkara-perkara positif.
Istiqamah #2 – Melazimi Taubat
Mungkin istiqamah yang anda sangkakan bukan tentang dosa, namun pasti
yang anda mahukan adalah perubahan yang lebih baik kan? Syarat untuk
berubah adalah meninggalkan yang tidak mahu, dan mula fokus kepada
perkara yang kita mahu. Ada pepatah dalam bahasa Inggeris,
“Let go of the past and the past will let go of you.”
Taubat adalah bermaksud menyesali perbuatan lalu dan berazam
memperbaiki perbuatan akan datang. Yakni, kita nak bina sesuatu yang
baru dalam diri kita, dan syaratnya adalah perlu meninggalkan perbuatan
lalu.
“Jika kamu bertaubat sehingga taubat itu gugur dan kamu
kembali melakukan dosa, maka, bersegeralah bertaubat kembali! Katakanlah
pada dirimu: Moga-moga aku mati sebelum sempat mengulangi dosa kali
ini.”
Imam Ghazali
Selagi kita masih di takuk yang lama, pasti
susah untuk kita beralih kepada sesuatu yang baru betul? Justeru,
penting untuk sentiasa melazimi taubat.
Supaya kita sentiasa
bersihkan diri daripada perkara-perkara lalu, sama ada dosa atau tabiat
buruk, seterusnya fokus dengan keras untuk membina pahala dan tabiat
baru yang lebih baik.
Istiqamah #3 – Berdoa Kepada Allah
Mu’az bin Jabal ra menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah saw memegang tangannya seraya mengucapkan:
“Hai Mu’az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu.”
Lalu baginda bersabda,
“Aku wasiatkan kepadamu hai Mu’az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap
kali di akhir solat hendaknya kamu berdoa, ‘Allahumma a’in ni ‘ala
zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik’ (Ya Allah, bantulah aku untuk
mengingat-Mu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu).”
Riwayat Abu Daud
Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Selepas kita berniat, kita serah
ke Allah terus untuk menguruskan diri kita. Sesungguhnya Allah
sebaik-baik pengurus. Hatta jantung yang berdegup inipun kita tidak
mampu uruskan, apatah lagi, menguruskan seluruh diri kita.
Berdoalah kepada Allah, memohon hidayah dan rahmat limpah kurniaNya.
Boleh juga baca doa ini supaya Allah membaiki segala urusan kita, dan
seterusnya menguruskan diri kita mengikut kebijaksanaan-Nya:
“Ya
Haiyyu, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah
seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku
walaupun sekelip mata.”
Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani
Istiqamah #4 – Mulakan Dengan Perubahan Yang Ringan Dan Termampu
Jangan gelojoh. Tergesa-gesa itu daripada syaitan. Analoginya, andai
sekarang berat kita 150kg, jangan gelojoh mahu terus turunkan kepada
50kg. Hatta Al-Quran diturunkan secara berperingkat.
“Jangan takut perlahan. Yang lebih patut ditakuti adalah, apabila tidak bergerak langsung.”
Lebih baik turunkan berat badan sedikit demi sedikit secara natural dan
tanpa penyakit. Berbanding, turun menjunam namun mendapat 101 penyakit
kerana, pemakanan yang tidak sihat dan penggunaan produk kuruskan badan
yang banyak. Ini analogi sahaja supaya lebih mudah faham.
Daripada Aisyah rha, Nabi Muhammad saw bersabda:
“Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Amalan yang
paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Contoh, seumur hidup tak pernah baca Al-Quran terjemahan. Jangan terus
gelojoh mahu habiskan satu juz. Memadai baca 1 ayat pada tiap hari. Biar
perlahan asal bergerak.
Contoh lain, bagi yang ingin melatih
fokus, boleh mulakan tugasan itu tiap 5 minit. Selepas itu andai rasa
boleh lama, teruskan. Sekiranya rasa sudah tak mampu, berhenti sekejap,
dan sambung semula. Biar perlahan asal tugasan itu dapat diselesaikan
sedikit demi sedikit.
Istiqamah #5 – Pilih Persekitaran Yang Sama Dengan Misi Kita
Rasulullah saw bersabda,
“Perbandingan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau
akan membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak, engkau tetap
mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, mungkin
(percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap
mendapatkan bau asapnya yang tak enak.”
Riwayat Bukhari 5534 dan Muslim 2628
Andai kita pelajar yang mahu capai dean list pada semester itu, maka
bergaul lah dengan orang yang sama misi dengan kita. Supaya misi kita
tidak terganggu sebaliknya saling mendorong sesama rakan bagi mencapai
misi itu.
Persekitaran yang baik dapat membawa hati dan jiwa yang tenang. [Bin Muhamad]
Andai kita orang yang mahu berniaga, maka bergaul lah dengan orang yang
sudah lama berniaga. Supaya daripada situ, kita boleh mendapatkan tip
perniagaan daripadanya. Berbanding kita bersama dengan orang yang tidak
suka berniaga, pasti dicemuh atau direndah-rendahkan niat kita untuk
mulakan pernaigaan.
Istiqamah #6 – Jaga Solat, Dan Sentiasa Mengingati Allah
Solat mempunyai rahsia tersembunyi yang boleh membantu kita perbaiki
perubahan kita. Andai kita seorang yang suka bertangguh, cuba kita
perhatikan adakah kita seorang yang selalu melengahkan solat?
Andai kita seorang yang selalu tergesa-gesa, cuba renung cara kita
solat. Adakah tergesa-gesa atau secara perlahan-lahan dan khusyuk?
Pepatah Inggeris mengatakan:
“How you do anything is how you do everything.”
Pasakkan diri untuk sentiasa berusaha menunaikan solat pada awal waktu,
dan memperbaiki cara kita solat selama 21 hari. Kemudian, lihat
bagaimana kehidupan kita setelah memperbaiki solat kita. InshaAllah
pasti ada perubahan untuk projek istiqamah kita.
Solat merupakan salah satu tanda kita sebagai hamba mengingati Pencipta.
Di samping itu, bagi meningkatkan potensi perubahan kita, usahakan
untuk sentiasa mengingati Allah. Sama ada berzikir atau berdialog atau
meluahkan kepada Allah apa yang kita mahukan untuk perubahan kita itu,
dan betapa kita sangat perlukan Allah untuk membuat transformasi kita
berjaya dengan izin-Nya.
Istiqamah #7 – Bersyukur Pada Tiap Proses
Apabila kita masuk syurga, apa yang kita boleh raikan bukanlah tentang
matlamat kita dapat masuk syurga. Tetapi proses yang telah kita lalui
untuk masuk ke syurga.
Seperti kita masuk universiti 3 tahun
untuk dapatkan Ijazah. Pasti ketika hari graduasi kita, ada 101
perasaan. Antaranya gembira. Gembira kerana telah berjaya tamatkan
pelajaran selama 3 tahun itu setelah melalui 101 pengalaman suka dan
duka di dunia kampus.
Hari graduasi itu adalah hari kita raikan segala usaha dan penat lelah,
menamatkan dunia kampus untuk mendapatkan ijazah kita. Sama juga dalam
projek istiqamah ini.
Setelah berjaya satu perkara yang buat kita
gembira, dan berpuas hati pada hari itu, tulis dalam satu buku yang
kita boleh namakan sebagai, Buku Kejayaan.
Contoh. Tulis tarikh 4 Februari 2015. Di bawahnya senaraikan:
1. Saya siapkan assignment Multimedia bersama rakan dalam masa 3 jam.
2. Saya telefon ibu selama 5 minit untuk bertanya khabar.
3. Saya baca 1 ayat Al-Quran nombor 216 dalam surah Al-Baqarah.
Antara tip hidup tenang adalah kita membandingkan diri kita pada hari
semalam dengan hari ini. Bukan dengan membandingkan diri kita dengan
diri orang lain yang sudah Bab 20, sedangkan diri kita yang baru Bab 1.
InshaAllah dengan menulis dalam Buku Kejayaan, kita lebih jelas tentang
perubahan yang kita lakukan. Sedikit namun ada penambahbaikan pada tiap
hari.
Kan best tengok! Baru bersemangat! Buku Kejayaan juga
adalah salah satu cara kita bersyukur kepada Allah dan diri, bahawa kita
dapat buat lebih baik pada hari itu berbanding sebelum ini.
Rumusan – Jangan Pandang Belakang, Jalan Terus
Allah tidak akan jemu selagi kita tidak jemu untuk berubah. Allah tidak
melihat hasil, sebaliknya Allah melihat usaha kita. Walau kita berusaha
sekecil 0.0001mm, pasti Allah akan mengganjarkan usaha kita berubah ke
arah lebih baik untuk-Nya.
Perbanyakkanlah apa yang Allah suka,
inshaAllah Allah beri apa yang kita suka mengikut kebijaksanaan-Nya.
Saat kita ada terdetik untuk meminta, barangkali itu tanda Allah nak
beri. Justeru, mintalah.
No comments:
Post a Comment