Tuesday, January 15, 2019

Menjawab: Hindu Mendakwa Simbol Pahang Dari Dewa Murugan


Sumber: Firdaus Wong Wai Hung (Official)

Saya mendapat sebaran berkenaan bentuk cogan Jata Negeri Pahang yang dikaitkan dengan Hindu. Klaim ini telah tersebar dikalangan sebahagian masyarakat Hindu di Malaysia yang mendakwa simbol tersebut diambil dari simbol senjata Vel dewa Murugan.

Dewa Murugan adalah dewa terkenal yang disembah oleh masyarakat Tamil di Malaysia, dia merupakan anak kepada dewa Siva dan saudara kepada dewa Ganesha (berkepala gajah). Di kuil Batu Caves merupakan patung Murugan yang paling besar di Asia Tenggara. Yang menjadi dakwaan segelintir masyarakat Hindu adalah senjata di tangan Murugan tersebut merupakan simbol dewa mereka yang turut diangkat ke dalam Istana Pahang.

Ada beberapa perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu dari klaim tersebut.

1) Simbol yang dikatakan “Vel Murugan” yang menjadi simbol Jata negeri Pahang itu bukanlah seperti yang didakwa oleh sebahagian penganut Hindu. Ini kerana simbol Jata Pahang tersebut merupakan cogan yang diambil dari bentuk daun kopi. Mata cogan yang berbentuk daun kopi adalah simbolik kepada peristiwa kejayaan sewaktu menyusun perancangan untuk mengambil alih pemerintahan Kerajaan Pahang oleh Wan Ahmad (Sultan Ahmad) yang ketika itu dihidangkan air kopi. Oleh itu, simbol tersebut bukanlah diambil dari elemen kehinduan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Boleh rujuk di sini: http://www.dirajapahang.my/portaldiraja/?page_id=3300

2) Jika dikatakan senjata Vel Murugan adalah simbol yang mempengaruhi kebudayaan masyarakat Melayu yang dahulunya beragama Hindu maka hujah ini tidak relevan sama sekali. Jika dilihat sejarah, masyarakat melayu Hindu dahulu tidak pernah mengangkat Murugan sebagai dewa tertinggi untuk disembah. Orang melayu terdahulu lebih terkesan dari aliran Vaishnavisme (penyembahan Vishnu) sebab itu hikayat terkenal yang tersebar di alam melayu adalah Ramayana dan Mahabharata yang berkaitan dengan avatar dewa Vishnu yang menjelma sebagai Dewa Rama dan Krishna. Begitu juga dengan imej burung seperti Garuda, Petalawati, Petala Indera, dan Gagak Sura semua itu adalah pengaruh di dalam aliran Vishnu dan bukan aliran Siva (dan keluarga termasuk Murugan).

3) Aliran penyembah Murugan atau dikenali sebagai aliran Kaumaram hanya disembah oleh masyarakat selatan India (Tamil) sahaja. Manakala Hindu di utara India, Nepal dan Bali pula mereka tidak menyembah Murugan. Oleh kerana yang berada di Malaysia sekarang ini adalah majoriti dari masyarakat Selatan India (Tamil) yang berhijrah ke tanah Melayu, dari titik itu barulah bermula penyembahan Murugan masuk ke tanah Melayu. Sebelum ini masyarakat Melayu tidak pernah mengenal dewa Murugan.

4) Jika klaim semudah itu digunapakai untuk mendakwa simbol tersebut menciplakkan atau terpengaruh dari dewa Murugan disebakan ada sedikit persamaan bentuk, maka adakah relevan jika orang mengatakan senjata syaitan yang sering diimejkan memiliki lembing bermata tiga (trisula) itu adalah pengaruh dari dewa Siva yang turut memiliki lembing yang sama? Mengapa tidak mendakwa dewa laut Poseidon dan Aquaman di dalam Komik DC itu juga pengaruh dari Siva disebabkan memiliki trisula tersebut? Sudah tentu kami tidak akan memainkan klaim ini kerana ia memiliki latar yang berbeza. Begitu juga dalam soal Jata negeri Pahang yang dikaitkan dengan Murugan ini.

Kesimpulan

Sebagai masyarakat yang mengangkat nilai intelektual adalah penting kita melihat sejarah dan tidak mudah membuat klaim yang tidak berasas terutama hal melibatkan soal agama. Jika hal itu terbukti dari sudut fakta dan sejarah maka ia boleh dipentaskan untuk dinilai secara ilmiah dan berhikmah.

Semoga Allah menanam nilai keharmonian ke dalam masyarakat Malaysia. Amin..

Daulat Tuanku!
R&D Team Multiracial Reverted Muslims

No comments:

Post a Comment