Jabir menuturkan bahawa sebelum wafat, Rasulullah SAW bersabda sebanyak tiga kali "Jangan sesekali salah seorang diantara kalian mengharapkan kematian kecuali dia dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah." [HR Syaikhan]
Pesanan daripada Rasulullah SAW ini adalah merupakan suatu penegasan bahawa jangan sekali kali kita buruk sangka terhadap Allah dalam apa jua keadaan pun.
Kadangkala kita ditimpa ujian daripada Allah, lalu terasa amat berat sekali hati kita berhadapan dengannya. Maka pada ketika itu, bagaimana reaksi tanggapan kita terhadap Allah? Apakah bersangka baik ataukah berburuk sangka?
Didiklah diri untuk sentiasa muhasabah melihat pada diri kita yang lemah ini. Bergantung dan berharapnya kita kepada Allah bukan kepalang bahkan ia adalah merupakan suatu "desakan hidup". Kita amat amat memerlukannya bahkan amat mustahil kita hidup tanpa bergantung harap kepadaNya.
Akuilah kita ini amat lemah sekali sehinggakan kita sendiri tidak langsung mengetahui apakah hikmah yang Allah telah sedikan pada setiap ujian yang menimpa diri kita.
Pasti ada kebaikan yang Allah telah sediakan kerana Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang diinginkan kebaikan oleh Allah, maka Allah akan timpakan musibah keatasnya." [HR Muslim]
Oleh kerana itulah berusahalah untuk kita sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Datanglah apa jua ujian dan cubaan dalam kehidupan, pastikan kita menyangka adanya kebaikan yang Allah akan berikan. Carilah alasan dan sebab untuk kita sentiasa berbaik sangka kepada Allah.
Ingat! Sesiapa yang berburuk sangka kepada Allah maka akan menjadilah dia dari kalangan orang orang yang rugi.
Seperti firman Allah yang bermaksud,
"Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!" [41:23]
No comments:
Post a Comment