Sunday, March 15, 2015

RAHSIA SOLAT #13- RAHSIA SUJUD DI DALAM DAN DI LUAR SOLAT


Segala rukun di dalam solat yang melibatkan qolbi (hati), qauli (lisan) dan fi’li (perbuatan) mempunyai pengertian dan maksud yang amat mendalam sekali di sisi Allah bagi sesiapa yang mengetahuinya. Setiap pergerakan di dalam solat itu sendiri sarat dengan hikmah dan unsur pendidikan dari Allah SWT secara RITUAL mahupun AKTUAL.

AF’AL RITUAL SUJUD dalam rukun solat ialah perbuatan meletakkan kepala, tapak tangan, lutut, dan jari-jari kaki yang terlentik semuanya di atas tanah / lantai. Tangan harus bertapak kemas setentang dengan muka. Dahi harus bersentuhan tanpa sebarang penghalang dan ditekan betul-betul ke tempat sujud masing-masing (SAJJADAH).

Lafaz yang lazim dibaca ketika sujud pula ialah bertasbih " سبحان ربي الاعلى وبحمده" (MAHA SUCI TUHAN / PENGATUR / RABB-KU YANG MAHA TINGGI DAN DENGAN KEPUJIANNYA).

Sesuai dengan tasbih sujud, jika kita biasa sebut Allah 'TA’ALA', maka KETINGGIAN (A’LA) Allah itu harus juga kita buktikan dengan fenomena sujud, dengan mengabdikan diri melalui perintah agamaNya. Dengan pengabdian itu nanti, agama Allah dan umatnya akan ditinggikan sehingga tiada agama lain dapat mengatasinya.

Tetapi bagaimanakah harus kita sempurnakan AKTUAL amalan itu sehingga dengan SUJUD itu menjadikan kita paling disukai oleh Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

“Tiadalah keadaan seorang hamba yang paling disukai oleh Allah SWT daripada Dia melihat hamba-Nya itu di dalam keadaan bersujud, dengan meletakkan mukanya di TANAH” - (Hadis Riwayat Imam Tabrani).

KUPASAN AKTUAL DARI AF’AL SUJUD

Kita sedia maklum bahawa kerangka atau visi solat ialah mencegah perbuatan keji dan mungkar serta membangunkan agama. Oleh itu, setiap perbuatan di dalam solat adalah merupakan tarbiah yang membentuk AKHLAK manusia agar mematuhi kehendak Penciptanya (AL-KHOLIQ).

Rukun sujud dalam solat adalah lambang pengabdian seorang hamba dari segi PERBUATANNYA, seraya memuji dan mengagungkan Rabb secara LAFAZNYA.

QS: 9. At Taubah 112. “Mereka itu adalah orang-orang yang BERTAUBAT, yang MENGABDI, yang MEMUJI, yang MENGEMBARA, yang RUKU', yang SUJUD, yang menyuruh dengan kebaikan dan yang mencegah dari kemungkaran, dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang MUKMIN itu.”

QS: 32. As Sajdah 15-16. “Sesungguhnya hanyalah yang beriman dengan ayat-ayat Kami orang-orang yang apabila mereka diperingatkan dengannya, mereka menyungkur SUJUD dan mereka bertasbih dengan MEMUJI Tuhan/Rabb mereka dan mereka tidak menyombongkan diri. Mereka menjauhkan lambung mereka dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa apa rezki yang Kami berikan.”

Firman di atas menampakkan hakikat sebenar (AKTUAL) dari RITUAL SUJUD dalam solat kita. Secara praktisnya, perbuatan sujud adalah melaksanakan segala yang sudah dirancangkan itu dengan bersungguh-sungguh. Selepas sujud dalam solat, masing-masing harus BERTEBARAN di mukabumi untuk turun melaksanakan kerja yang diperintahkan di tempat sujud atau lapangan kerja masing-masing seperti apa yang telah dikhususkan dan diamanahkan.

Jika kita kaji perbuatan sujud dari aspek fizikal, maka kita akan dapati banyak rahsia kerohaniannya. Usai melakukan 'check and balance' dalam I'TIDAL, iaitu menimbang tara dan mengadili segala arahan yang sudah didengar (semasa QIAM) dan dipatuhi (semasa RUKU’), maka langkah seterusnya ialah turun untuk SUJUD MENGABDI dengan MELAKSANAKAN segala kerja di TEMPAT SUJUD (LAPANGAN KERJA) masing-masing sepertimana yang ditetapkan.

Ketika sujud, kedudukan kepala adalah lebih rendah dari bahagian punggung dan kemaluan tempat keluarnya najis kita. Kepala akan betul-betul berada di atas tanah dalam keadaan dahi kita tertekan di tempat sujud.

Oleh kerana kepala adalah tempat letaknya otak dan minda, maka perbuatan ini merujuk kepada TUNDUKNYA akal fikiran kita terhadap segala petunjuk dan perintah Allah. Menekan dahi (forehead) ke tempat sujud pula melambangkan serius dan begitu fokus (khusyu') nya kita dalam melakukan kerja yang diperintahkan Allah / Rasul / Ulil-Amri kepada kita.

Dengan itu, kedudukan sujud adalah satu perlambangan bahawa kita merendahkan diri serendah-rendahnya. Di dalam Islam, sujud kita hanyalah layak kepada ALLAH sahaja. Tidak boleh kita sujud atau mengabdi kepada sebarang makhluk atau idola lainnya, termasuk mengabdi diri untuk maksud mendapatkan harta, tahta dan wanita (berhala LATTA, UZZA, MANNA).

Bicara amal juga bicara hasil. Setiap pekerjaan perlulah dilakukan sehabis baik, sehingga 'berbekas' atau menampakkan hasilnya. Itulah ciri-ciri hamba yang SUJUD dan beriman kepada ALLAH dan Rasul. Watak sebenar seorang hamba itu hanya boleh DIKENAL melalui ukuran hasil kerja buatnya (QS 48/29). Itulah juga ibrah dari kisah Musa a.s. dalam soal kerja (QS 28/22-28).

Apabila sudah kenal, barulah perasaan cinta berputik. Bak kata pepatah "tak kenal maka tak cinta". Apabila sudah cinta, pasti kita akan sentiasa mendekati dan menyayangi, bukan menjauhi dan membenci saudara kita.

PERSELISIHAN RITUAL YANG BESAR TENTANG SUJUD

Terlalu besar dan luasnya rahsia dan fungsi sujud ini. Dari SUJUD terbitnya istilah SAJADAH (sajjadatun), iaitu ‘tempat khusus’ yang banyak digunakan untuk sujud. Kemudian ia difahami sebagai selembar kain atau karpet yang dibuat khusus untuk alas sujud SETIAP ORANG yang solat.

Dari SUJUD juga terbit istilah MASJID [مسجد] yang artinya TEMPAT SUJUD. Nabi SAW katakan bahawa MASJID itu seluas bumi walaupun kita memahaminya sebagai sebuah bangunan khusus yang menempatkan jemaah untuk solat sahaja.

Dari Abu Sa’iid Al-Khudriy r.a., ia berkata : "Telah bersabda Rasulullah SAW; Bumi keseluruhannya adalah masjid melainkan tempat perkuburan dan tempat mandi / tandas”.

”… Seluruh permukaan bumi boleh dijadikan masjid dan sarana bersuci untukku. Maka siapapun di kalangan umatku yang menjumpai waktu solat, segeralah dia solat.” (HR. Bukhari 335 & Muslim 521)

Hakikat MASJID seluas bumi ini disokong oleh banyak firman dari Alquran yang mana ia tidak selamanya bererti 'bangunan khusus'. Contohnya peristiwa Isra Mi'raj yang menyebut dua masjid (QS:17 AL-ISRA’: ayat 1). Masjid al-Haram di Mekkah ketika itu hanya berupa bungkah Ka’bah dan Masjid al-Aqsa di Palestine pula hanya berupa 'batu tergantung'. Masing-masing belum pun berupa bangunan khusus seperti sekarang.

Ini membawa maksud bahawa tarbiah sujud dalam solat itu harus dilaksanakan di mukabumi ini melalui apa sahaja gerak kerja yang mampu memberikan rahmat kepada manusia dan alam semesta, sesuai dengan perintah agama. Perhatikan juga istilah MENGEMBARA (QS:9/112) dan BERTEBARAN dalam ayat berikut,

QS: 62. Al Jumu'ah 10. “Apabila telah ditunaikan solat, maka BERTEBARANLAH kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”

Kegagalan memahami hakikat SUJUD secara AKTUAL menimbulkan berbagai perselisihan yang agak berat tentangnya. Ada yang mengaitkan BUMI itu sebagai tanah dan pasir dengan mengaitkan satu hadis lain yang menuntut agar dahi dan hidung kita bersentuh dengan tanah ketika sujud. Perselisihan sebegini juga telah menjadikan umat Islam berpecah sepertimana isu 'Tanah Karbala' atau 'Turbatul Husain' yang menjadi pegangan golongan Syiah.

KEBAIKAN SUJUD DARI SUDUT KESIHATAN JASMANI

Selain dari kebaikan berbentuk analogi seperti di atas, ketahuilah bahawa ada banyak kebaikan jasmani yang Allah sediakan secara langsung dari setiap rukun solat. Antara hikmah sujud dari segi kesihatan dan perubatan ialah,

1. Menambahkan kekuatan aliran darah dan oksigen ke otak. Ini akan menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran/mentaliti kita. Ia juga boleh mengelakkan pening kepala dan migrain serta mudah tidur dengan sihat.
2. Regangan melalui gerakan otot-otot tangan, peha, kaki serta lentikan jari tangan dan kaki (khususnya ibujari kaki) menjadikannya lebih kuat dan elastik. Secara automatik ia melancarkan edaran darah dan fungsi saraf.
3. Membetulkan kedudukan buah pinggang dan pundi kencing.
4. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
5. Mencegah dan melegakan masalah hernia.
6. Mencegah dan melegakan sakit senggugut ketika haid.
7. Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan ketika bernafas.
8. Mengurangkan kesakitan pada apendiks dan limpa.
9. Mencegah dan melegakan kesakitan bahagian pelvis.
10. Gerakkan dari otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika sujud bagi wanita boleh menjadikan buah dadanya lebih cantik dan baik pula fungsi penyusuan untuk bayinya.
11. Gerakan otot ini juga memudahkan wanita untuk bersalin dan memulihkan kembali organ peranakan ke tempat asal.
12. Keseluruhan gerak sujud boleh mengurangkan kegemukan / obesiti.
13. Kedudukan sujud juga paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.

KESIMPULAN

Setiap rancangan, wawasan atau visi itu hanya akan dapat direalisasikan apabila ia benar-benar dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan istiqomah. Dengan praktikal sahaja kita akan dapat memahami sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam.

Bicara amal adalah bicara hasil. Islam yang kita nikmati sekarang adalah HASIL KERJA keras Rasulullah SAW, para sahabat dan seterusnya salafussoleh. Islam tidak akan sampai kepada kita jika mereka semua hanya berada di atas sejadah sahaja tanpa BERTEBARAN di muka bumi untuk mengembangkannya. Pastinya di kalangan mereka yang solat itu ada yang fokus mencari dana, ada yang mengembangkan ilmu, ada yang bertani, membina bangunan, merekacipta dan sebagainya bagi menjayakan visi yang sama.

Oleh itu, sujud adalah terkait dengan soal kerjabuat yang berlandaskan Basmalah. Apabila dinampakkan perintah dari ayat-ayat ALLAH, maka kita buktikan perhambaan kita dalam bentuk kerja yang aktual berdasarkan perintah itu. Bukan lagi sekadar tulisan dan ceramah-ceramah sahaja.

Af’al sujud juga menyedarkan kita akan asal kejadian manusia itu dari tanah yang kotor serta hina dina, dan kita juga akan kembali semula kepada tanah. Dengan meletak dan menekan dahi ke tanah, iaitu tempat hina yang dipijak-pijak manusia, juga meletak kepala lebih rendah dari punggung yang kotor, maka akan hilang sikap sombong terhadap Allah yang telah menciptakan kita dari tanah yang sama.

Dalam soal kerja juga begitu, selagi kita tidak bersentuh dengan debu dan tanah yang biasanya dipandang hina, maka kita masih belum boleh digelar sebagai benar-benar sujud kepada Yang Esa - Rujuk juga 'RAHSIA TAYAMUM'.

Janganlah kita hanya bersujud di dalam solat sahaja tetapi di dalam kehidupan seharian kita menyombongkan diri, enggan tunduk, taat dan berserah secara total kepada peraturan dan sistem Allah yang Maha Sempurna selaku RABB yang mengatur kita. Demikian juga tuntutan mematuhi Rasul/ Murobbi/ Ulil-Amri yang berdasarkan Basmalah.

WARGA PRIHATIN




 

No comments:

Post a Comment