Tuesday, May 30, 2017

Apakah yang boleh dilakukan andai anak kecil mengadu dicabul atau diperkosa

Apakah yang boleh dilakukan oleh Tuan Puan andai anak kecil mengadu dicabul atau diperkosa oleh seorang individu yang dikenali atau tidak dikenali? Mari saya mulakan dengan berkongsi beberapa hal yang penting.

1. Ajarkan sebutan yang betul bagi anggota badan sulit kanak-kanak. Untuk lelaki sebutkan ini zakar atau penis. Bagi perempuan, katakan ini faraj atau vagina. Jangan sekali-kali tukarkan ia kepada istilah yang biasa kita dengar dalam masyarakat seperti burung, bebird, bunga, pepet dan yang berkaitan. Saya akan huraikan sebabnya nanti.

2. Kemudian, ajarkan pula apakah private part yang tidak boleh disentuh, diraba atau dipegang oleh sesiapapun samada mereka orang yang dikenali atau tidak. Bagi kanak-kanak lelaki, ini private partnya : zakar, punggung, bibir dan dada. Bagi anak perempuan : faraj, punggung, dada dan bibir.

Kedua perkara di atas adalah asas yang perlu diterapkan oleh ibubapa dalam mendidik anak mengenai kesihatan reproduktif atau pendidikan seks. (Jika rasa alergik perkataan pendidikan seks, tukar sahaja ia kepada pendidikan menjaga maruah diri)

Inilah 2 point yang selalu saya ulang dalam post saya sebelum ini. Mudah-mudahan ia memberi idea kepada ibubapa untuk memulakan interaksi bersama anak-anak.

Nak dijadikan cerita, seorang rakan saya tergerak hati berkongsi kepada 2 orang anak perempuannya berkenaan private part pada tubuh badan. Kemudian, beliau lanjutkan pertanyaan, "Pernah tak sesiapa menyentuh atau melakukan perkara tak senonoh pada kakak?"

Anak beliau menjawab, "Ada." Bukan sahaja anaknya yang sulung (7 tahun), bahkan yang 5 tahun juga mengadu hal yang sama. Seorang individu di dalam keluarga telah melakukan hal yang tidak senonoh berulang kali kepada mereka berdua. Lelaki berkenaan merupakan bapa saudara bagi si mangsa. Beliau sudah berkahwin!

Semua kejadian ini berlaku di dalam rumah keluarga mertua! Jantan berkenaan secara sedar sengaja menarik seluar anak beliau hingga ternampak buntut. Setelah seluar ditarik, beliau membiarkan sahaja sambil tersenyum.

Rakan saya meneruskan soal jawab dengan si anak, "Apa respon kakak bila diperlakukan seperti itu?" Mereka berdua menjawab serentak : "Marah! Kakak cakap pada dia janganlah buat macam ni. Tapi dia gelak je."

Bukan itu sahaja, pelaku juga pernah mengintai serta membuka pintu bilik air ketika kanak-kanak ini sedang mandi dan melepaskan hajat.

Inilah yang diluahkan oleh sahabat saya beberapa hari lepas. Saya minta beliau bersabar, jangan sekali-kali serang lelaki berkenaan serta jangan update maki-maki di facebook. Bukan apa, di facebook orang jahat boleh nampak baik bila gunakan term agama dalam penulisan. Akhirnya, orang nampak dia betul, kita yang salah.

Esoknya, beliau dan suami membawa anaknya ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. Sebelum bertemu polis untuk membuat laporan, beliau telah menulis sendiri kronologi jawapan si anak serta merakam video sebagai bukti pengakuan.

Terus sahaja diserahkan kepada pihak polis. Polis tidak menunggu lama, hari berkenaan buat laporan, hari berkenaan juga mereka memulakan siasatan. Benar-benar macam siri drama Gerak Khas.

Tuan Puan kena maklum akan hal ini. Unit D11 berperanan untuk menyelesaikan kes ini. Dan inilah yang berlaku. Mereka terus sahaja menghubungi si pelaku, meminta beliau untuk hadirkan diri ke balai polis.

Si pelaku enggan dengan memberikan alasan akan ke tempat lain. Namun polis beri kata dua pada beliau, hadirkan diri atau namanya akan disenarai hitam.

Maka, si pelaku datang, polis ambil keterangannya dan ditahan reman selama 5 hari. Jika disabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tak kurang 15 tahun.

Tuan Puan yang budiman, ini satu contoh kisah yang harus menjadi inspirasi kepada ibubapa diluar sana. Walau gangguan seksual berkenaan masih bersifat awal (intai, tarik seluar), namun dalam akta yang baru digubal di parlimen, ia kesalahan berat.

Mari saya kongsikan; Menurut Rang Undang-undang Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kesalahan menarik/ membuka seluar termasuk di bawah klausa 12(d) Bahagian IV Amang Seksual Fizikal Atas Kanak-Kanak.

Mengintai di kamar mandi pula di bawah klausa 16(a) (iii) dalam Amang Seksual Bukan Fizikal Atas Kanak-Kanak.

Bayangkan jika ibubapa menyedari hal ini lebih awal, pasti setiap dari mereka tahu untuk berbuat apa andai ia terjadi kepada anak-anak.

Kita mampu halang dari berlakunya kes yang lebih besar, rogol, sumbang mahram, seks luar tabie. Namun itu kesedaran diperingkat mak ayah. Bagaimana pula dengan anak-anak?

Ikuti 2 langkah yang saya tulis di atas. Ia sangat membantu ibubapa jika kejadian sedemikian berlaku. Menyebut nama yang sebenar pada anggota badan sangatlah perlu andai anak ini perlu menerangkan hal berkenaan kepada pihak polis.

Sukar untuk diambil keterangan andai si anak menyebut 'burung' berkenaan masuk dalam 'bunga'. Ingat, ketika siasatan, pihak polis juga akan berikan patung mainan kepada si anak. Ia bertujuan untuk anak mengenal pasti bahagian mana yang diperlakukan oleh pemangsa.

Jika yang melakukan perkara terkutuk itu ayah kandung, maka saya sarankan agar si ibu yang buat report. Kena beranikan diri demi masa depan anak-anak. Jika tidak dibuat apa-apa, hal itu akan membuatkan si mangsa trauma, hidup dalam tekanan hingga dewasa.

Ada ketika, hal seperti ini akan hilang keluarga, dipulaukan oleh orang tersayang (sekiranya yang mencabul ahli keluarga terdekat). Akhirnya, mereka tarik balik laporan. Si pelaku terus bebas mencari mangsa yang seterusnya. Jangan sekali-kali berundur ke belakang!

Untuk warga pendidik, saya sarankan agar hal ini disampaikan kepada anak didik kalian. Bantu yang mana boleh walaupun perlu menemani mereka ke balai polis untuk buat laporan.

Terima kasih kepada Tuan Puan yang baca hingga habis. Apa yang boleh dilakukan adalah sebarkan mesej ini kepada rakan-rakan kalian yang lain, tag orang yang tersayang serta mempraktikkannya.

Brother Fairuz aka
Akhi Fairuz Al-Jengkawi
MFA Smart Training & Consultancy




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...