Ketika umur kita bawah 10 tahun, kita percaya bahawa bermain merupakan
perkara sangat penting. Sebab itu kita suka bermain. Pagi petang siang
malam mahu bermain.
Ketika umur kita belasan tahun pula, kita merasakan kebebasan itu lebih
penting. Sebab itu kita ingin menyuarakan pendapat sendiri. Ingin suara
didengari. Kita banyak memberontak dan sedikit keras kepala. Kita
menjadi degil dan tidak mahu mendengar kata.
Beranjak kepada umur 20-an, kita berasakan pendidikan dan kerjaya pula
penting. Sebab itu kita belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh
kerjaya yang setimpal. Kadang-kadang kita berasa menyesal tidak belajar
bersungguh-sungguh dahulu. Melihat kawan-kawan mendapat pekerjaan yang
baik kita berasa cemburu. Alangkah ruginya kita mempersiakan hidup
sebelum ini.
Meningkat kepada umur 30-an, kita semakin sedar bahawa kewangan itu pula
penting. Masa inilah kita sedang membina hidup. Membina keluarga. Ingin
membeli kereta, rumah, tanah, aset, melancong dan sebagainya.
Namun akhirnya, kita akur tatkala memasuki fasa 40-an. Bahawa perkara
yang paling penting dalam hidup ialah kesihatan. Kekayaaan dan lain-lain
tidak bermakna dengan tahap kesihatan yang tidak memuaskan. Pada masa
ini darah tinggi, kencing manis, jantung sakit dan lain-lain sedang
cuba melamar. Masa inilah kita menyesal kerana sibuk dengan kerjaya
sehingga lupa untuk bersenam, menjaga kesihatan ketika umur remaja dan
meningkat dewasa.
Memasuki era 50-an, tatkala kita sudah memiliki semua impian, akhirnya
kita sedar bahawa perkara yang lagi penting dalam hidup ialah kasih
sayang. Kita sedikit kesunyian tatkala anak-anak sudah berkahwin dan
tinggal di tempat lain. Anak-anak yang sibuk dengan kerjaya menjadikan
kita rindu saat-saat indah bersama mereka di usia kecil. Rumah banglo
besar, kereta besar seakan-akan tidak lagi bermakna. Rumah besar kosong
dan sunyi sepi.
Kehidupan mesti diteruskan. Tatkala memasuki usia 60-an, kita semakin
sedar bahawa hanya amal ibadat perkara yang cukup bermakna sebagai
bekalan menuju ke sana. Segala kemewahan dan kebendaan tidak lagi
bermakna. Kubur bakal menjemput bila-bila masa. Rumah hampir setiap hari
menyatakan selamat tinggal. Mujurlah Allah masih membuka pintu dan
menerima taubat yang kita pohon.
Demikianlah kitaran hidup. Kanak-kanak akan menjadi remaja. Remaja akan
menjadi dewasa. Dan dewasa akan melangkah ke alam usia emas. Usia
hanyalah pinjaman. Dunia hanyalah pinjaman. Amatlah rugi jika kita
mempersiakan hidup dengan perkara yang merugikan dan melalaikan.
Terlibat dengan gejala negatif, berkawan dengan rakan yang melalaikan,
atau terlalu sibuk dengan kebendaan.
No comments:
Post a Comment