Al~Fatihah... akhirnya pada usia 150 hari, anakku mengadap Pencipta-nya
Setelah bertarung dengan penyakit yang secara purata pengidapnya hanya dapat bertahan setakat 2 minggu selepas dilahirkan (hypophosphatasia-komplikasi dengan kandungan kalsium dalam tulang belakang), akhirnya perjuangan Alesha Abriza, satu-satunya permata hatiku berakhir sebaik sahaja azan subuh 13 Mei 2006 (15 Rabiulakhir 1427) berakhir. Pada subuh itu, genap usianya 150 hari di muka bumi ini. Dari jumlah itu, hanya 2 hari beliau berada disisi kami di rumah dan selebihnya di wad NICU Hospital Putrajaya dan Hospital Seremban.
Alesha tetap memberikan senyuman kepada kami disaat-saat akhir kehidupannya. Beliau tidak pernah menyusahkan kami malahan doktor dan jururawat yang merawatnya..
Dimalam terakhir hayatnya, Alesha langsung tidak menganggu kami. Sepanjang malam itu, Alesha tidur dengan amannya. Pada pukul 4.40 pagi, Alesha mulai menunjukkan tanda-tanda akan meninggalkan kami selamanya. Tubuh badannya mulai membiru dan menjadi sejuk.. Pihak hospital memberikan ruang kepada kami anak beranak untuk bersendirian. Kami bertiga, Alesha, isteriku dan aku sendiri berpelukkan dan membisikkan kalimah tauhid di telinganya.
Sejenak sebelum Alesha menghembuskan nafasnya, azan subuh berkumandang. Isteriku memohon pada Alesha, katanya: "Lesha sebelum pergi senyumlah pada mama... mama dan papa redha Alesha pergi... senyumlah sayang". Kata-kata itu akan menjadi tangkal bagi saya selama-lamanya.
Seolah-olahnya Alesha Abriza faham akan permintaan dari ibunya itu. Alesha telah menoleh pada ibunya, memberikan sekuntum senyuman yang paling manis buat ibunya, jelas juga kelihatan setitik air matanya mengalir di penjuru matanya, sebelum nafas terakhirnya diragut! Maka sempurnalah sudah rahmat Allah kepada hambaNya pada pagi itu.
Impian isteriku untuk memandikan Alesha akhirnya terlaksana jua setelah tidak berkesempatan memandikannya sewaktu hayat Alesha. Pagi itu, jenazah Alesha dimandikan sendiri oleh ibunya. Sebaik sahaja jenazah Alesha dikapankan, kami telah dibenarkan untuk menciumnya. Sungguh tidak tertahan-tahankan air mataku mengalir ketika mencium dahi kecil Alesha dan membisikkan kata-kata tauhid di telinga arwah serta menyatakan bertapa aku terlalu sayangkannya, aku redha pemergiannya dan aku akan terus menganggapnya sebagai anak sulungku selamanya!
Sewaktu jenazah disolatkan, ramai yang memohon agar aku sendiri mengimamkan solat jenazah. Namun aku takut tidak termampu nanti untuk membaca ayat-ayat Allah dengan betul mahupun takut tidak termampu untuk membaca doanya kerana terlalu pilu. Aku cuma mampu berdiri di shaf hadapan sahaja ketika itu. Bersolatpun dengan cucuran air mata yang tidak tertahan-tahan. Satu kejadian yang kurasakan istimewa pada masa itu adalah, sebaik imam mengangkat takbir, hujan turun dalam suasana mendung. Seakan-akan menangisi pemergian seorang bidadari syurga. Hujan tersebut betul-betul terhenti sebaik sahaja jenazah selamat dikuburkan dan doa arwah selesai dibacakan!. Mungkin itu satu petanda rahmat dari Allah untuk bayi yang tidak berdosa itu.
Di tanah kuburan, aku sendiri menyempurnakan pengebumian arwah. Aku sendiri menunggu arwah di liang lahad, aku sendiri melonggarkan ikatan kain kafannya, dan aku sendiri membuka penutup mukanya. Saat itu, saat ku buka penutup muka arwah, jelas kelihatan rupa Alesha yang tersenyum. Satu senyuman yang maha indahnya. Muka Alesha juga amat cantik dan berseri-seri. Indah bercahaya rupanya sehinggakan tika aku merapatkan mukanya ke tanah di dalam lubang lahatnya, masih jelas kelihatan cahaya dari mukanya.
Satu lagi peristiwa yang kurasakan agar istimewa berlaku. Tika kuburan selesai ditutup, saat menunggu imam membacakan doa bagi arwah (talkin tidak dibacakan kerana Alesha seorang bayi), jelas kedengaran di telingaku suara seseorang berkata: "Dua bidadari syurga sedang menunggunya... janganlah kamu risau." Suara itu amat jelas kedengaran seolah-olah bercakap kepada semua yang hadir pada masa itu. Selesai pengebumian, saya bertanya pada isteri dan ahli keluarga semuanya tidak mendengarkannya. Semoga, Alesha beroleh rahmat Allah.
Saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk menjadi seorang ayah, walaupun hanya seketika. Saya berpeluang merasa menjaga isteri ketika mengandung dan berpantang. Semua pengalaman itu telah menjadi rahmat yang tidak terhingga dari Allah. Insyallah, saya masih bersedia untuk mengulanginya.
Al-Fatihah untuk Alesha Abriza binti Shamsul (15 Dis 2005 - 13 Mei 2006)
No comments:
Post a Comment