Monday, March 30, 2009

Pakej rangsangan ekonomi yang tak terangsang?

Pertama sekali , Gross Domestic Product (GDP) di kira secara tahunan. Jadi adalah salah untuk Najib menyatakan bahwa RM 60 Billion di peruntukkan untuk Pakej Stimulus kedua ( mini bajet ) - akan di belanjakan selama 2 tahun , dari 2009 hingga 2010 bersamaan dengan 9% GDP negara.

Keduanya , dari RM60 Billion yang di janjikan , hanya RM15 Billion adalah sebenar-benar wang yang di keluarkan dari Perbendaharaan Negara di dalam bentuk suntikan fiskal -- dan cara untuk ia di belanjakan (RM10b tahun ini , RM5 Billion pada 2010) , bermakna pada kadar purata RM7.5 Billion wang akan di masukkan ke dalam sistem untuk merancakkan kegunaan domestik dan pada masa yang sama tiada siapa dapat menjamin Malaysia akan keluar dari kegawatan ekonomi menjelang 2010.

Baki dari pakej adalah RM25 Billion adalah untuk guarantee fund (berkemungkinan untuk pihak komersial atau pihak korporat tetapi detail tidak di ketahui) , RM10 Billion untuk pelaburan ekuiti ( kaunter saham sasaran tidak di ketahui - saham kroni lah tu) , RM7 Billion untuk PFI (Private Financial Initaitives) dan RM3b untuk insentif cukai.

Tiada maklumat lanjut yang di dapati ketika ianya di bentangkan di dalam Dewan Rakyat. Saya cuma berasa gusar apakah yang akan di lakukan pada pelaburan ekuiti dan bagaimanakah pelaburan ekuiti bernilai RM10 billion tersebut dapat di manafaat oleh pekerja biasa yang tak pernah membeli saham atau amanah saham?

Dan saya berasa amat gusar apakah RM25 Billion akan di gunakan untuk membeli funds yang di jana oleh pihak yang ada kepentingan politik. Jika ini terjadi , ianya tidak mengejutkan berdasarkan sejarah terdahulu. Cuma yang menjadi persoalan , apakah RM yang terkandung di dalam mini bajet ini dapat di manafaat oleh golongan marhaen di tepi jalan yang kehilangan kerja?

Ketiganya , kelihatannya tiada unsur "Tindakan pemulihan pantas" terkandung di dalam pakej ini, bermakna plan tindakan jangka masa pendek tiada, jika ianya bermaksud untuk merangsang ekonomi ketika krisis. Kita juga tidak melihat sebarang kemudahan ataupun faedah/pampasan pengangguran untuk kumpulan sasaran yang menghadapi kepayahan. Malah , potongan cukai juga tiada.

Saya juga tidak mendengar sebarang tindakan strategik lagi taktikal untuk menyelamatkan mereka (kumpulan atau pekerja) yang berpendapatan rendah. Apa yang kita mahu lihat adalah bantuan terus ke poket rakyat , bukan memusatkan perhatian kepada syarikat. Lihatlah TAIWAN dan Singapura yang memperuntukkan RM8.5 Billion atau wang tunai RM400 ringgit wang perbelanjaan untuk setiap rakyatnya. Di Malaysia , sepuluh sen pun tiada. Yang pasti adanya CEO syarikat akan mengekalkan gaji terkumpul sebanyak RM5.1 juta setahun.

SUBSIDI.

Tiada plan stimulus akan lengkap di Malaysia tanpa subsidi.

RM674 juta akan di peruntukkan untuk melembutkan kesan kenaikan harga barangan seperti gula , tepung gandum dan roti.

RM480 juta akan di gunakan untuk membayar pampasan kepada pihak konsesi tol untuk mengekalkan harga tol supaya sentiasa rendah , dan bukannya di gunakan untuk membeli syarikat tol tersebut. Jadi untung atas angin berterusan.

Sedang pula , Menteri Kewangan belum lagi berkata tentang sumber pembiayaan , kecuali bon kerajaan untuk membiayai pakej stimulus ini.

Pakailah tali pinggang anda dan bersedialah untuk kegawatan ekonomi.

-Screenshots-

Berjayakah pakej stimulus kedua? - Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, March 11 - Akhirnya kerajaan bersedia menerima hakikat bahawa negara akan ditimpa seluruh impak buruk krisis kewangan global.

Baguslah, walaupun agak lambat. Sejak November lalu, Pakatan Rakyat mahu kerajaan bertindak segera bagi mengelakkan penguncupan dan menangani kelembapan ekonomi.
Betul kita tidak terkesan dengan krisis sub-prima kerana pendedahan kita terlalu minimum terhadap segala produk-produk canggih derivative gadai-janji sekuriti ciptaan genius kewangan Barat. Tetapi lain pula halnya dengan negara-negara seperti United Kingdom, Jepun, Singapura dan Timur Tengah.

Semua negara-negara ini sedang mengalami kemelesetan ekonomi dengan membawa satu senario ngeri yang bakal ditanggung rakyat masing-masing.

Ia persis kelembapan ekonomi tahun 1929 dalam "The Great Depression". Kini kemelesetan pertumbuhan di United Kingdom sebanyak -2.8 peratus, Jepun -2.6 peratus dan Singapura -4.9 peratus.

Kini kita mengakui pertumbuhan negara hanya sebanyak 0.1peratus pada suku akhir 2008, berbanding 4.7 peratus pada suku ketiga 2008.

Bahawa negara akan mengalami kemelesetan atau 'recession' bukan lagi suatu ramalan bahkan hakikat yang pasti. Ia bukan sukar untuk difahami seperti ilmu sains roket.

Jumlah ekspot menjunam sebanyak 27.8 peratus pada bulan Januari 2009 sementara Indeks Pengeluaran Industri (IPI) merosot sebanyak 15.6 peratus pada bulan Disember 2008.

Sumbangan IPI adalah hampir 40 peratus dari jumlah seluruh ekonomi negara. Rizab Antarabangsa hanya tinggal RM316 bilion pada bulan Disember 2008, berbanding RM410 bilion pada bulan April 2008.

Pengurangan permintaan barangan kita, pengurangan rizab negara, pelebaran defisit fiskal, antara lain, akan sekali gus mengurangkan nilai ringgit Malaysia (RM) yang kini kehilangan sebanyak 7 peratus berbanding Dolar Amerika.

Penarafan Negara atau 'Sovereign Rating' telah turun ke paras single 'A' serentak menyukarkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan penambahan kos pinjaman dalam bondan hutang (gearing) serentak menjadikan negara kita tidak menarik dan kompetitif bagi pelabur asing mahupun tempatan.

Unjuran pemberhentian pekerja adalah sebanyak 200,000 menjelang hujung 2009.Suntikan kedua RM60 bilion? (bold)Sejumlah RM60 bilion dikatakan akan disuntik dalam tempoh dua tahun; 2009 dan 2010. Jumlah ini agak besar, hampir 10 peratus dari seluruh ekonomi negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kalau benarlah disuntik sejumlah ini akan melebarkan defisit fiskal hampir kedua angka atau 'double digit'.

Tetapi penulis yakin suntikan fiskal hanya seperti yang dinyatakan yakni RM15 bilion, selainnya bolehlah dianggap sebagai dalam alam khayalan dan angan-angan lagi.

Sumber Dana Jaminan, Pelaburan Ekuiti, kaedah PFI dan juga cara insentif cukai tidak merupakan satu yang pasti. Tidak salah berangan-angan, cuma jangan terlalu nak mendodoi rakyat. Lebih baik mencelikkan rakyat dengan hakikat yang sebenarnya.

Kalau tidak keterlaluan, penulis ingin bertanya Menteri Kewangan, apa sudah jadi dengan RM7 bilion pakej rangsangan pertama.

Apakah ia sudah habis disuntik? Dalam sektor mana? Bila dan apa kesannya? Apakah ia menepati sasaran dan matlamat rangsangan? Apakah ia berjaya atau gagal?

Terlalu banyak yang masih belum diketahui dan didedahkan.

Ketelusan dan pertanggungjawaban

Ini kunci permasalahan urus-tadbir dinegara ini! Ketelusan dan pertanggungjawaban. Urus-tadbir Presiden baru Amerika Syarikat, Barack Hussein Obama dalam pengurusan krisis kewangan ini boleh disemak dalam satu website economyincrisis.com. Setiap perbelanjaan dana suntikan adalah terbuka dan telus kepada rakyat.

Sudah sampai waktunya kerajaan BN memahami bahawa mereka tidak lagi boleh meneruskan urus-tadbir yang buruk dan membuat keputusan yang buruk.

Urus-tadbir yang buruk dan keputusan yang buruk hanya boleh dihasilkan oleh kepimpinan yang buruk. Sehingga kini,persepsi buruk rakyat terhadap kepimpinan negara masih tidak dapat diubah selagi gelagat dan tabiat lama dikekalkan.

Benar krisis ini adalah dicetuskan faktor luaran dan mendatang. Benar, tidak ada negara yang dapat mengelak dari terkena bahananya disebabkan sifat ekonomi dunia yang terbuka kecuali kalau kita mengamalkan ekonomi tertutup dan menjana ekonomi hanya dari permintaan domestik (closed-loop economy).

Namun perlu ditegaskan bahawa negara ini tidak lagi bersedia untuk ditadbir kepimpinan yang tidak punya integriti, bahkan mengamalkan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan nepotisme. Semua ini akan meningkatkan kos perkhidmatan serta pembuatan produk-produk di negara ini sekaligus menjejaskan daya-saing negara.

Tender terbuka dan memberi pihak yang mampu melakukan dengan kos perunit terendah adalah ukuran utama dalam pemberian sesuatu kerja atau kontrak.

Berjuta bahkan berbilion ringgit mampu diselamatkan dengan mempastikan amalan urus-tadbir baik.

Penerusan amalan buruk ini tegasnya akan menjadi punca utama kegagalan program pakej rangsangan kerajaan, walau sebanyak mana sekalipun disuntik.

Setelah komitmen yang bulat oleh semua pihak untuk menutup lubang-lubang kebocoran, maka aspek kedua yang penting diperhatikan ialah ke manakah suntikan rangsangan itu dibuat?
Perlu ditegaskan bahawa yang hendak dicapai dalam mengelakkan ekonomi negara daripada terus terjerumus dalam kelembapan dan kemelesetan ialah bagi meningkatkan permintaan.

Dalam waktu terdekat krisis ini, amat munasabah untuk tidak mengharapkan rakan dagang kita membuat permintaan ekspot barangan dan perkhidmatan kita. Blok dagangan baru seperti BRIC (Brazil, Russia, India dan Cina) juga turut terjejas walaupun tidak seteruk Amerika dan Eropah atau Jepun.

Meningkatkan permintaan domestik dengan berbelanja

Maka kerajaan hanya boleh mengharapkan peningkatan permintaan domestik, yakni rakyat di negara kita sendiri. Bagi menjayakan agenda dan cita-cita ini, rakyat perlu diberi keupayaan membeli dengan meningkatkan pendapatan bolehguna mereka (disposable income).

Ini termasuk selain dari makanan seperti pembelian rumah hartanah, kereta, bahan eletrikal dan elektronik, termasuk bercuti dan lain-lain.Kaedah paling berkesan untuk mempastikan rakyat mempunyai wang dan dana untuk berbelanja adalah memberi wang tunai terus kepada rakyat.

Negara seperti Singapura dan Australia mengamalkan polisi ini.

Potongan sumbangan pekerja mahupun pihak syarikat kepada KWSP belum pasti diterima rakyat atau syarikat kerana mereka tahu bahawa ini mengorbankan simpanan usia tua mereka.

Mustahak untuk kerajaan memahami psikologi rakyat dalam krisis kerana mereka kurang senang untuk berbelanja kerana takut dan cemas akan ketidaktentuan krisis. Mereka lebih selesa menabung, dan bukan berbelanja.

Kalau berlaku sedemikian maka penguncupan permintaan akan menjadikan situasi lebih parah dan pihak pengilang akan memberhentikan lebih ramai pekerja.

Disamping suntikan terus kepada rakyat yakni semua segmen rakyat dari pelbagai latar belakang status sosial dan pendapatan, perkara seterusnya adalah untuk memahami dalam sektor apakah suntikan harus dibuat? Spontan jawapan ini selalu dijuruskan kepada infrastruktur; lebih besar adalah lebih baik.

Perbelanjaan RM5 bilion untuk lebuhraya, jambatan atau landasan keretapi merupakan 1 peratus daripada KDNK. Namun kali ini, kerajaan perlu faham bahawa mereka tidak seharusnya terlibat dalam usaha 'pump-priming' secara tradisional, yakni dalam infrastruktur sahaja.

Perusahaan kecil dan sederhana

Kerajaan wajar menumpukan sector perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana peranannya yang penting dalam ekonomi negara. Sumbangan PKS kepada KDNK ialah sebanyak 32 peratus sementara ia menyumbang lebih 56 peratus tenaga pekerja dalam negara.

Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM5 bilion adalah cukup memberangsangkan. Penjanaan pekerjaan adalah besar sekali gus dengan kesan bergandanya juga adalah penting.

Elakkan dari membuat suntikan ke atas sektor spekulatif (saham) dan akhirnya tidak menjadikan rakyat mendapat menafaat kecuali bagi pihak pemaju atau pembekal bahan-bahan pembinaan. Sudah terlalu banyak projek rumah yang terbengkalai. Kita perlu berfikir di luar kotak dalam menggarap cabaran perumahan ini. Benar, bidang pembinaan melibatkan 120 sektor berkaitan, tetapi cuba pastikan kesan bergandanya dan matlamatnya kesampaian.

Sudah terlalu lama isu perumahan tidak ditangani dengan baik dan tuntas.Banyak lagi aspek-aspek terperinci yang perlu diperhatikan termasuk pelaburan dalam industri hijau, dan lain-lain lagi. Namun selama wujud komitmen dan iltizam politik untuk melakukan yang terbaik dengan urus-tadbir yang kompeten dan bertanggungjawab, krisis ini akan terus mematangkan seluruh rakyat, sama ada di pihak pembuat polisi, pelaksana polisi dan penerima kesan polisi yakni rakyat.

Akhirnya, ia kembali kepada semua kita. Mengungkap sepatah kata hikmat Mahatma Gandi: Jadilah engkau perubahan yang engkau cita-cita untuk saksikan di dunia ini! Andainya kita gagal lakukan ini, maka kitalah musuh utama bagi diri kita sendiri.

Dengan itu sayugia diingat akan maksud firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, Mengapa kau katakan apa yang kau tidak lakukan?"

No comments:

Post a Comment